Selalunya beberapa hari sebelum raya, emak andung, waktu dia masih hidup akan membeli daun kelapa. Emak cukup pemilih orangnya. “Daun, biar yang hijau, panjang dan lebar,” kata emak. Jadi bila buat ketupat cantik rupanya. Dan besarnya pun sama. Bila dihidangkan nanti cantik.
Wah! Secara tidak langsung, emak andung pun sudah menekankan tentang pentingnya penampilan. Tentu sikapnya selari dengan falsafah orang sekarang bahawa penampilan itu sama pentingnya dengan mutu.
Andung pun terfikir juga macam mana emak nak cari daun kelapa yang lebar dalam longgokan daun kelapa yang begitu banyak di pasar? Tapi percayalah – dapat! Agaknya keinginan yang kuat yang ditunjukkan oleh emak-emak kita itu yang membolehkan mereka mendapat apa yang mereka mahu. Mungkin dari sikap itu juga, maka timbullah pepatah “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.”
Kecil-kecil lagi andung sudah diajar menganyam ketupat. “Ambil dua helai daun. Lilitkan di jari di kedua-dua tangan. Hah. Gini. Tengok-tengok …” Kemudian emak buat. “Gini-gini. Hah. Tak dapat-dapat jugak!” Pelepak!
Hilang juga kesabaran emak mengajar andung membuat ketupat. Kadang-kadang tangan andung diketuk emak dengan seikat kelongsong ketupat yang sudah jadi. Alahai … Tapi akhirnya andung pandai juga menganyam ketupat.
Andung diajar cara mengisi ketupat. Ketupat harus diisi dengan beras atau pulut yang sudah dicuci dan ditos. Beras yang digunakan bukan sebarang beras tapi beras Cina. ‘Untuk ketupat beras isikan sesudut saja dan untuk ketupat pulut isikan hampir penuh, tinggalkan sesudut saja,” kata emak. Ukuran emak mudah. Isikan sesudut atau tinggalkan sesudut. Kalau ikut petua ini ketupat pasti jadi!
Tapi dari sudut pandangan andung, sesudut yang dimaksudkan emak itu hampir setengah ketupat!
Pada andung, raya macam tak lengkap kalau tak buat ketupat sendiri. Memang buat ketupat ini rumit sedikit tapi ketupat itukan hidangan tradisional kita? Kaum lain pun bersusah payah melestarikan makanan tradisional mereka. Jadi walaupun ada ketupat berbungkus plastik hari ini, andung tetap akan membuat ketupat daun juga.
Andung buat ketupat ikut petua emak. Jadi!
Ketupat kita ini menjadi pelengkap kepada beberapa makanan lain. Sate tidak lengkap tanpa ketupat. Sayar lodeh akan sendirian tanpa ketupat. Gulai paku akan menjadi ‘lebih lamak’ kalau digandingkan dengan ketupat. Cukup “versatile” ketupat ini.
Jadi beberapa hari sebelum raya nanti, andung akan ke pasar Geylang untuk mencari daun kelapa. Seperti kata emak andung, “Cari yang panjang dan lebar daunnya.” Harap-harap dapat. Heh … heh …
2 thoughts on “Ketupat Lebar Daun”
edi chalidi
Waaaaw
Ingin coba ketupat simei
andungida
Silakan. Tentu jadi.