Tumis atau menumis adalah cara memasak yang popular di kalangan mereka yang suka makan sihat. Ini kerana kalau kita memasak dengan cara ini, kita akan menggunakan sedikit minyak sahaja. Tambahan lagi, masa memasaknya pun tidak lama. Jadi khasiat atau nutrien sayur-sayur yang kita masak itu dapat kita kekalkan.
Wanita seangkatan dengan saya menamakan masak cara ini sebagai masak campak-campak. Campak bawang – merah & putih, campak lada – merah & hijau, campak udang kering atau ikan bilis kemudian tumis. Bila nampak bahan-bahan itu sudah layu barulah masukkan sedikit air dan kicap kalau mau. Tapi yang kedua terakhir ini tak bolehlah campak-campak.
Nanti banyak kerja pulak … nak bersihkan percikan air yang sudah berbaur dengan minyak dan kicap. Ondee … Elakkanlah tu.
Orang barat panggil memasak cara ini sebagai “stir-fry.” Banyak yang memuji. Di antaranya ialah “chef berkaliber tinggi” seperti Jamie Oliver & Pioneer Woman. Mereka sudahpun memandang ke timur – mencari inspirasi dari masakan nenek moyang kita.
Emak-emak kita dah menumis sayur sejak zaman bahari lagi. Mereka menumis sayur yang banyak terdapat di lingkungan mereka. Sayur seperti kangkung, kacang panjang, boncis, kobis, peria, bayam, jagung, jamur, tauge dll. Sayur-sayur ini diolah sebegitu rupa hingga menjadi hidangan yang cukup menyelerakan.
Sayur tumis ini ada yang kering juga. Rencah atau rempahnya sudah digoreng terlebih dahulu kemudian baru dimasukkan sayur-sayur yang disukai. ..
Rencah sayur tumis ini pun mudah didapati. Rencah biasa yang terdapat di dapur kita. Pakai ajalah …
Sayur begitu dominan dalam diet masyarakat Melayu sehingga tidak menghairankanlah jika kita digalakkan makan banyak sayur.
Cakap pasal sayur ni, teringat pula cerita rakyat tentang sayur kangkung …
“Kononnya Laksamana Hang Tuah diutus ke negara Cina. Sesampainya di sana dia diberitahu ada peraturan yang melarang rakyat melihat wajah Sang Raja. Bila Hang Tuah mau dijamu Raja, dia meminta dihidangkan sayur kangkung.
Pada waktu makan dia mendongak ke atas agar dapat memasukkan kangkung ke dalam mulutnya. Waktu itulah dia dapat melihat wajah Sang Raja.
Pengawal raja menjadi marah lalu mau menangkapnya. Tapi Sang Raja mencegah kerana dia kagum dengan kepintaran Hang Tuah.”
Jadi, apakah kita akan jadi pintar bila makan kangkung?
Saya tak taulah . Tapi yang jelas kangkung itu murah dan sedap dimakan.
Yuk … kita makan sayur kangkung …
Alahai … Hang Tuah pun makan kangkung …